Filled Under:

5 Sebab Kenapa Gegar Vaganza Musim Ini Mendapat Sambutan ?




1. Penyertaan penyanyi berkelas A – Majoriti peserta tahun ini adalah penyanyi yang berada dalam kelas tersendiri dan bukannya one hit wonder. Kebanyakan daripada mereka punya lebih daripada lima buah lagu yang menjadi siulan ramai satu ketika dahulu. Nama mereka juga bukan calang-calang pada zaman mereka.



2. Siti Nordiana (Nana) dan Faradhiya – Tanpa mengetepikan saingan dan pengaruh dari peserta lain, dua nama ini memberi impak yang bukan sedikit kepada penonton. Ramai yang melihat kedua-dua mereka seperti baharu keluar dari kepompong; Nana berjaya meletakkan dirinya jauh daripada identiti penyanyi remaja, manakala Faradhiya membuatkan penonton kembali mengingati bahawa forte asalnya adalah nyanyian.



3. Nabil dan Jihan – Gandingan dua pengacara ini menerima reaksi yang bercampur baur daripada penonton di peringkat awalnya. Nabil terutamanya, sering dikritik gara-gara sikapnya yang gemar menyampuk ketika juri memberikan komen. Namun hakikatnya, mereka adalah penyumbang kepada kemeriahan GV2. Ini terbukti apabila penonton mula panik selepas pihak produksi menggertak untuk menyingkirkan kedua-dua mereka.



4. Juri – Penglibatan juri juga antara faktor yang membangkitkan ‘seri’ GV2. Pengarah muzik terkenal, Datuk Ramli MS, pernah digeruni kerana ketegasan dan personalitinya yang nampak garang. Namun itu semua cerita lama kerana semenjak kebelakangan ini, beliau tampak lebih relaks, sekaligus menyerlah sisi humour yang dimilikinya.

5. Pemilihan lagu – Konsep Gegar Vaganza yang lebih mengutamakan lagu-lagu yang pernah popular di era 80an dan 90an sememangnya menjadi. Lagu-lagu di dua zaman itu kebanyakannya malar segar, dan sudah tentu membuatkan penonton ternanti-nanti gaya persembahan dan nafas baharu dari peserta yang bertanding.